Wednesday, March 30, 2011

BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan Bantu Mengajar (BBM)

BBM ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di dalam kelas. Peralatan mengajar bukan terhad kepada buku-buku teks, papan hitam, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran yang melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa, hidu dan sebagainya, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid.


Antara kepentingan BBM bolehlah dirumuskan seperti berikut:
i)    BBM menyediakan satu asas yang kuat untuk sesuatu konsep.
ii)   Sebagai daya penarik penting kepada seseorang pelajar.
iii)  Dapat menghasilkan pembelajaran yang lebih kekal.
iv)  Memberi pengalaman sebenar yang boleh merangsangkan aktiviti sendiri di kalangan pelajar.       
v)   Dapat membina pemikiran yang berterusan, seperti melalui filem bergerak.
vi)  Boleh membantu pemahaman dan perkembangan perbendaharaan kata pelajar.
vii) Boleh memberi pengalaman baru dan menjadikan     pembelajaran lebih mendalam dan beragam. 

DISLEKSIA

Apa itu Disleksia?
Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.
Mereka yang mempunyai disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang yang menghidap disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan penghidap yang lain.
Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi penghidap disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.
Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia seliaan JPN atau mendapatkan nasihat daripada JKM untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas. Kanak-kanak ini akan diberikan bimbingan dengan betul untuk berdikari tanpa memerlukan bantuan ibu bapa apabila dewasa.
Selain itu terdapat juga beberapa perkataan lain yang berkaitan dengan disleksia, antaranya ialah:
* Dyscalculia (Diskalkulia) – bermasalah dalam pengiraan ataupun matematik;
* Dysgraphia (Disgrafia) – bermasalah dalam bahasa; dan
* Dyspraxia (Dispraksia) – bermasalah dalam koordinasi motor-mata-tangan.

Ciri-ciri penghidap Disleksia
1. Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
2. Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
3. Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
4. Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya ‘b’ dianggap ‘p’ dan ‘p’ dianggap ‘q’.
5. Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
6. Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
7. Sering berlaku dalam kalangan lelaki.
8. Kerap berlaku dalam kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
9. Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.

Punca-Punca Disleksia
Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa dalam kandungan ataupun daripada kemalangan.
Faktor keturunan juga dikatakan sebagai salah satu punca disleksia. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan.
Masalah Kanak-Kanak yang Menghadapi Disleksia
Masalah utama yang dihadapi kanak-kanak disleksia kebanyakanya adalah dalam proses pembelajaran. Permasalahan ini boleh dikelaskan kepada;
Mengeja
Kelemahan mengeja akan menyebabkan kebolehan untuk menyampaikan pengetahuan yang diperolehi adalah terhad. Untuk tempoh jangka masa yang panjang kelemahan dalam proses mengeja akan memberi kesan terhadap kelemahan membaca. Timbulnya masalah ini adalah berpunca daripada masalah-masalah awalan seperti terdapatnya kekeliruan dalam mengenal pasti huruf-huruf seperti;
m – w y –g – j u – n m – n

c – e p – q h – n b – d
Terdapat juga kekeliruan dalam membunyikan huruf seperti
t – h f – v

Membaca
Kesukaran ini menghadkan kebolehan kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat daripada rujukan-rujukan yang berkaitan. Secara langsung ianya akan membuat kanak-kanak merasa rendah diri dan tidak berkeyakinan. Mereka cenderung menterbalikkan perkataan seperti:

Batu – tuba
Gula – lagu

Selain itu mereka juga melakukan pembalikkan dalam ayat. Contohnya seperti berikut:
pada masa yang sama – dapa masa yang masa
Kekeliruan perkataan antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Contohnya seperti berikut:
Jam – jem
cat – cat


Menulis
Kanak-kanak ini juga mengalami kesukaran untuk memindahkan maklumat ke atas kertas. Mereka juga mengalami kesukaran untuk memegang pensel dan tidak dapat menulis mengikut garisan yang disediakan. Kanak-kanak ini juga cenderung menulis perkataan yang pelik-pelik.

Bercakap dan mendengar
Terdapat juga dalam kalangan mereka yang mengalami kesukaran untuk bertutur. Mereka juga kelihatan seperti tidak mendengar atau mempedulikan. Hal ini berlaku disebabkan kelambatan dalam proses maklumat yang diperolehi. Mereka juga tidak melakukan atau menyusun sesuatu mengikut susunan.
Nombor
Kanak-kanak ini juga menghadapi kesukaran dalam pembelajaran yang berkaitan dengan matematik mental. Terdapat kekeliruan terhadap tanda dan simbol dan suka menterbalikkan nombor yang sama. Contohnya seperti berikut :
3 – 5 – 8

9 – 6

Masalah fizikal, pengurusan diri dan sosial
- Pakaian sentiasa tidak kemas tetapi tidak kotor dan pandai membutangkan baju, kidal dan pandai mengikat tali kasut
- Kelihatan berminat dalam pelajaran tetapi dilabel pemalas dan kelihatan bodoh
- Skop penglihatan yang terhad di mana keliru antara depan, belakang, kiri, kanan,, atas, bawah serta pengamatan yang lemah.

Rawatan Kanak-Kanak Disleksia
Berikut adalah beberapa cadangan untuk rawatan kanak-kanak disleksia. Apa pun ia bergantung kepada kesesuaian keadaan kanak-kanak.
1. Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal.
2. Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
3. Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi.
4. Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
5. Membacakan cerita untuk anak-anak dan sentiasa mendampingi mereka.
6. Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika.
7. Mengamalkan suasana kasih sayang serta bersikap perihatin dalam mengekalkan suasana harmoni.
8. Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik.
9. Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai.

Disunting dari:
1. http://ppdlms.edu.my/pk/?p=1179
2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Disleksia

LAGU DARAB

Melodi: Twinkle twinkle little stars
Tajuk: Bakul berbaris
Darab, darab, mendarab
Dua bakul rambutan
Lima biji sebakul
Semua berapa biji
Dua darablah lima
Jawapannya sepuluh
Darab, darab, mendarab
Sembilan baris bakul
Dua bakul sebaris
Semua berapa bakul
Sembilan darab dua
Lapan belas semuanya
Bakul, bakul, berbaris
Sembilan baris bakul
Dua bakul sebaris
Lima biji sebakul
Semua berapa biji
rambutan yang berbaris

Thursday, October 14, 2010

KAEDAH PEMBELAJARAN KHAS MATEMATIK

1.0 Pengenalan

Bukan semua kanak-kanak yang tidak pandai di dalam kelas malas belajar ataupun tidak bersungguh-sungguh semasa belajar. Sebenarnya terdapat berbagai faktor yang menjadikan mereka demikian. Antaranya ialah kanak-kanak tersebut telah dilahirkan tidak seperti kanak-kanak normal yang lain kerana mengalami masalah yang tidak dapat dikesan dengan melihat kesempurnaan fizikal mereka yang sama dengan kanak-kanak normal yang lain. Faktor lain yang menyebabkan kanak-kanak lemah atau tidak pandai terutamanya dalam mata pelajaran matematik ialah disebabkan pengajaran guru yang sangat biasa.

Menurut Brooks (1993) lima amalan guru yang biasa dilakukan dalam pengajaran Matematik ialah :
i. guru menyampaikan pengetahuan matematik dan pelajar dihasratkan meniru apa-apa yang disampaikan
ii. guru bergantung pada buku teks sebulat-bulatnya dalam pengajaran di bilik darjah
iii. pembelajaran secara koperatif jarang atau tidak dilaksanakan
iv. kemahiran berfikir di kalangan pelajar tidak diberi keutamaan
v. pelajar tidak digalakkan untuk membina pengetahuan tetapi dikehendaki menguasai pengetahuan matematik yang mantap dan tetap.

Namun masalah yang sangat ketara yang mengganggu pencapaian kanak-kanak dalam sesuatu mata pelajaran ialah masalah dalaman yang dialami oleh seseorang individu tersebut. Secara fizikalnya kita melihat mereka seperti kanak-kanak normal tetapi sebenarnya mereka menghadapi masalah yang tidak jelas dengan pandangan mata kasar. Hal ini telah dialami oleh salah seorang pelajar di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar (SKJDK), 05300 Alor Star. Murid yang dimaksudkan ialah Adik Nur Nelissa bt Aznizul berusia 11 tahun. Adik Nur Nelissa mengalami masalah pertuturan semenjak lahir. Mengikut guru kelasnya Puan Fadilah bt Ahmad, adik Nur Nelissa tidak pernah mengeluarkan suaranya walaupun sepatah perkataan samada semasa belajar atau sebaliknya. Oleh itu apabila berhadapan dengan murid yang menghadapi masalah yang sedemikian maka sebagai seorang guru yang bertanggungjawab dan berdedikasi tentunya lima amalan biasa yang disebutkan di atas adalah tidak sesuai sama sekali.


2.0 Latar belakang Murid

Adik Nur Nelissa bt Aznizul telah dilahirkan pada 11 Mac 1997 di Hospital Besar Alor Star. Adik Nur Nelissa merupakan anak sulung kepada pasangan Encik Aznizul b Osman seorang pegawai bank di bandar Alor Star dan Puan Siti Shabanun bt Mohamed seorang suri rumah. Adik Nur Nelissa adalah kakak kepada dua orang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Adik Nur Nelissa sekeluarga menetap di B-41, Taman Derga Jaya, 05300 Jalan Datuk Kumbar, Alor Star dan jaraknya dengan SKJDK kira-kira 2.5 km.

Adik Nur Nelissa disahkan mempunyai tahap pendengaran normal oleh Dr Sulaiman bin Hamzah Pegawai Pemulihan Perubatan, Hospital Alor Star dan disahkan pula mengalami masalah pertuturan oleh Dr Kho Peng Chan, Pegawai Perubatan, Unit Kanak-kanak Hospital Alor Star pada 23 Disember 2002, ketika berusia 5 tahun. Adik Nur Nelissa telah didaftarkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan No Pendaftaran MD 0104198.

Melalui rekod kesihatan, adik Nur Nelissa mengalami perkembangan motor yang normal seperti kanak-kanak lain. Adik Nur Nelissa boleh bergolek ketika berusia 4 bulan, boleh mencapai benda ketika berusia 6 bulan, boleh duduk sendiri ketika berusia 8 bulan, boleh berdiri sendiri dan berjalan sendiri ketika berusia 12 bulan. Namun dari segi perkembangan kognitifnya Adik Nur Nelissa agak lambat berbanding dengan kanak-kanak normal yang lain kerana ketika berusia 5 tahun Adik Nur Nelissa masih belum mengenali sebarang normbor dan juga tidak mengenali warna.

Adik Nur Nelissa mula menjejakkan kaki ke bangku sekolah pada Januari 2004 ketika berusia 7 tahun. Sejak hari pertama persekolahan hingga ke hari ini adik Nur Nelissa di tempatkan di Kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) di bawah beberapa orang guru terlatih.


3.0 Masalah Matematik

Saya telah berjumpa dan berbincang dengan guru Matematik di kelas PKBP, Puan Fadilah bt Ahmad dan beliau telah memaklumkan bahawa kebanyakkan murid-murid PKBP menghadapi masalah dalam pembelajaran Matematik. Kebanyakan mereka mempunyai daya ingatan jangka pendek sahaja. Mereka dapat menguasai kemahiran yang dipelajari pada hari tersebut tetapi gagal mengingati pelajaran yang sebelumnya.

Langkah seterusnya saya telah membina soalan ujian yang pendek bagi tajuk tambah untuk dijawab oleh beberapa orang murid. Melalui ujian tersebut, terbukti beberapa orang murid tidak menjawab langsung atau hanya menjawab beberapa soalan. Juga didapati mereka gagal menjawab dengan betul.

Melalui ujian tersebut saya dapati Adik Nur Nelissa, telah dapat menjawab dengan baik soalan tambah tanpa mengumpul semula. Bagi soalan mengumpul semula, adik Nur Nelissa gagal menjawab soalan tambah dua digit dengan dua digit melibatkan mengumpul semula. Semasa ujian tersebut dijalankan saya membuat pemerhatian tanpa sebarang teguran dan saya dapati adik Nur Nelissa belum menguasai cara menambah yang melibatkan mengumpul semula. Sebagai contoh semasa menjawab soalan 13 iaitu 24 + 17, adik Nur Nelissa memberikan jawapannya 311. Begitu juga dengan soalan 14, 17 dan 18. Saya dapati adik Nur Nelissa dapat membilang dengan betul semasa operasi menambah tetapi hanya sedikit kesilapan sahaja yang dilakukannnya iaitu cara menulis apabila melibatkan mengumpul semula yang belum dikuasainya.

Untuk membetuli kesilapan atau kekeliruan yang dialami oleh Adik Nur Nelissa itu, saya telah menggunakan pendekatan pengajaran konstruktivisme, supaya pengetahuan tersebut dapat dibinanya sendiri melalui aktiviti atau pengalaman yang dilaluinya. Adik Nur Nelissa sangat unik kerana beliau tidak dapat berinteraksi secara lisan walaupun mempunyai deria pendengaran yang baik. Oleh itu saya memberi ruang yang secukupnya untuk adik Nur Nelissa berinteraksi dengan bahan pengajaran. Pembelajaran ini lebih tertumpu atau berpusatkan kepada beliau sendiri sedangkan saya hanya membantu memudahkan pembelajaranya sahaja.

Saya telah merancangkan supaya Adik Nur Nelissa mengukuhkan konsep mengumpul semula yang menjadi kecelaruan dalam dirinya itu melalui pengalaman konkrit, kemudian diikuti dengan pengalaman secara semi konkrit dan seterusnya aktiviti secara abstrak. Aktiviti abstrak tersebut hanya dapat dilaksanakan apabila konsep mengumpul semula benar-benar difahaminya.


4.0 Pendekatan Pengajaran Matematik

Dalam proses untuk membantu Adik Nur Nelissa menguasai mata pelajaran Matematik khususnya dalam kemahiran tambah dengan mengumpul semula, pendekatan yang difikirkan sesuai ialah pendekatan konstruktivisme. Konstruktivisme merupakan satu teori mengenai pengetahuan dan pembelajaran yang menarik minat, memotivasikan serta memudahkan pemahaman pelajar. Disamping itu konstruktivisme menyarankan kanak-kanak membina pengetahuan secara aktif berdasarkan pengetahuan sedia ada mereka. Saunders (1992) juga menjelaskan bahawa konsruktivisme ialah suatu proses di mana seseorang membina kefahamannya sendiri terhadap sesuatu ilmu yang telah dipersembahkan kepadanya dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan lepas yang adaptasikan olehnya. Dalam pendekatan konstruktivisme ini, persekitaran pembelajaran berpusatkan kanak-kanak menjadi asas yang penting dan guru bertindak sebagai fasilitator. Menurut http://www.my-rummy.com dalam matematik kanak-kanak biasanya akan diajar dengan menggunakan benda-benda konkrit supaya mereka memperolehi pengalaman yang akan digunapakai untuk dikaitkan dengan pembelajaran matematik yang akan dipelajari pada masa yang akan datang.

Implikasi daripada pendekatan konstruktivisme ini, dapatlah dinyatakan bahawa :
i. pengajaran dan pembelajaran adalah berpusatkan murid
ii. guru berperanan sebagai fasilitator yang membantu murid membina pengetahuan dan menyelesaikan masalah
iii. guru berperanan sebagai pereka bentuk bahan pengajaran yang menyediakan peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru
iv. guru akan mengenal pasti pengetahuan sedia ada murid dan merancang kaedah pengajarannya dengan sifat asas pengetahuan tersebut.
v. Pengetahuan yang dipunyai oleh murid adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh murid tersebut dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif

Kesimpulannya pendekatan konstruktivisme adalah seperti yang dinyatakan oleh Nik Aziz Nik Pa dalam Pusat Perkembangan Kurikulum (2001), konstruktivisme adalah tidak lebih daripada satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Ini bermakna bahawa sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh indidvidu tersebut, dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif daripada luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada pemikiran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya, setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih.


5.0 Aktiviti Intervensi Khusus Matematik

Dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik bagi tajuk tambah dengan mengumpul semula bagi dua digit dengan dua digit, saya memilih untuk melakukan aktiviti konkrit, kemudian diikuti dengan aktiviti semi konkrit dan diakhiri dengan pengiraan secara abstrak. Menurut C. Thomas dalam Open University Malaysia (2007), aktiviti konkrit – semi konkrit – abstrak merupakan urutan aktiviti intervensi khusus yang tepat dan mesti diberikan kepada kanak-kanak dalam memupuk kefahaman yang betul tentang matematik melalui penggunaan konsep, kemahiran dan masalah-masalah matematik yang menggunakan perkataan secara tersusun.

Dalam pengajaran secara individu yang telah dirancangkan tersebut saya telah memilih untuk menggunakan dekak-dekak sebagai aktiviti konkrit. Misalnya dalam mengira 43 + 39 = ______. Murid tersebut akan menambahkannya dengan cara menggunakan dekak-dekak. Sebelum itu murid telah menguasai hubungan sa dan puluh pada dekak-dekak.

Setelah murid dapat melakukan kiraan tambah dengan mengumpul semula dengan menggunakan dekak-dekak, murid mula dapat membuat kesimpulan apabila jumlahnya melebihi daripada 10 maka satu akan dikumpulkan kepada tempat puluh. Penguasaan murid menyelesaikan kiraan ditunjukkan apabila murid dapat membuat kiraan semakin pantas.

Kemudian barulah guru memperkenalkan aktiviti mengira secara semi konkrit. Misalnya dalam soalan 43 + 39 = ______. Murid dibimbing untuk menggunakan simbol-simbol yang sesuai untuk membuat kiraan.

Perubahan aktiviti konkrit kepada semi konkrit hanya berlaku apabila murid telah menguasai kemahiran tambah dengan mengumpul semula dengan melalui aktiviti konkrit dan begitulah selanjutnya

Setelah murid benar-benar mantap mengira dengan menggunakan aktiviti semi konkrit, barulah murid didedahkan membuat latihan pengiraan secara abstark. Penggunaan buku kotak adalah lebih sesuai semasa membuat latihan mengira tersebut.


Kesimpulannya demikianlah intervensi khusus Matematik yang saya jalankan dalam aktiviti pengajaran bagi kemahiran tersebut kepada adik Nur Nelissa.
6.0 Penutup

Tugasan ini telah memberi saya peluang untuk merasai pengalaman yang amat bermakna apabila saya terpaksa mengajar adik Nur Nelissa yang unik dan istimewa kerana beliau tidak dapat berinteraksi secara lisan. Namun perhatian dan kesungguhannya telah meyakinkan saya bahawa pendekatan konstruktivisme amat sesuai untuk memantapan pengetahuan seseorang murid dalam sesuatu kemahiran yang dipelajari. Namun sebagai seorang guru yang tidak biasa berhadapan dengan murid-murid PKBP, pengalaman yang sedikit ini menyedarkan saya bahawa guru yang berkesan tidak sepatutnya mengajar dengan amalan yang biasa sahaja seperti yang disebutkan di atas tadi.

RUJUKAN

Brooks, J. & Brooks, M. E., (1993). The Case For Constructivist Classroom. Virginia : Association for Supervision and Curriculum Development.

Kanak-kanak Belajar Matematik. [atas talian] http://www.my-rummy.com [18 Februari 2008]

Open Universty Malaysia, (2007). HBSL2203: Kaedah Pembelajaran Khas Matematik. Selangor : Meteor Doc. Sdn Bhd.

Pusat Perkembangan Kurikulum, (2001). Pembelajaran Secara Konstruktivisme. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saunders, W.,(1992). The Constructivist Perspective: Implication and Teaching Strategies for Science. School Science and Mathematics, 92(3), 136-141.

Wednesday, October 13, 2010

Bagaimana Kanak-kanak Mempelajari Matematik?

PENGENALAN
Bayi yang baru lahir mewarisi berbagai-bagai bentuk gerakan pantulan. Contohnya apabila sesuatu objek menyentuh bibirnya, bayi terus menghisap objek tersebut tanpa perlu diajar kepadanya. Ini bererti wujud satu atur cara genetis semula jadi dalam diri bayi untuk menyerapkan kewujudan sesuatu objek. Hari demi hari, maklumat dalam ingatan bayi semakin bertambah selaras dengan peningkatan fizikalnya daripada seorang bayi ke dunia kanak-kanak seterusnya menjadi dewasa. Maklumat-maklumat yang diterima akan dipecah-pecahkan menjadi pengetahuan dan memperkembangkan keupayaan kognitifnya.

Menurut Mohd Daud Hamzah (1996), kanak-kanak mempelajari matematik melalui kegiatan seharian tertentu. Ada beberapa aktiviti yang membantu kanak-kanak memperolehi konsep-konsep awal matematik iaitu aktiviti padanan (matching), penjenisan (sorting), reguan (pairing), dan susunan aturan (ordering). Padanan ialah kegiatan memilih sifat tertentu dan membuat perbandingan. Penjenisan pula adalah kegiatan memilih sifat umum di kalangan bentuk-bentuk. Reguan merupakan kegiatan menyatakan keselarian objek-objek secara satu lawan satu. Manakala susunan aturan adalah kegiatan meletakkan perkara sepanjang satu barisan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori daripada pakar-pakar pembelajaran bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik dan jenis matematik yang boleh dipelajari pada peringkat yang berbeza dalam perkembangan kognitifnya. Antaranya ialah Teori Piaget, Bruner, Gagne dan Dienes.

TEORI PIAGET
Teori ini diperkenalkan oleh Jean Piaget, berasal daripada Switzerland, merupakan ahli psikologi yang banyak menyumbang kepada pemahaman bagaiman kanak-kanak belajar. Dari kajain dan permerhatiannya, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza dan berubah melalaui empat peringkat iaitu peringkat deria motor (0 – 2 tahun), pra-operasi ( 2 – 7 tahun), operasi konkrit (7 – 11 tahun) dan operasi formal ( 11 tahun ke dewasa). Walau bagaimana, usia ini tidak tetap kerana ia mengikut kemampuan pelajar itu sendiri.

Menurut Jere Confrey (1999), “ Piagetian theory kindled my intense enjoyment of children and deep respect for their capabilities.”

Sebagai seorang guru matematik sekolah rendah, kita harus memberi tumpuan terhadap perkembangan kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit. Ketika usia sebegini kanak-kanak hanya boleh memahami konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Oleh itu, alat bantuan mengajar dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik. Paiget berpendapat bahawa asas pada semua pembelajaran ialah aktiviti kanak-kanak itu sendiri. Beliau juga menegaskan kepentingan interaksi idea-idea antara kanak-kanak tersebut dengan kawan-kawan sejawatnnya penting untuk perkembangan mental.

Permainan kad seperti ini adalah salah satu daripada alat bantuan mengajar yang dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik. Klik untuk mendapatkan keterangan lanjut.

TEORI BRUNER
Jerome Bruner, seorang ahli psikologi yang terkenal telah banyak menyumbang dalam penulisan teori pembelajaran, proses pengajaran dan falsafah pendidikan. Bruner bersetuju dengan Piaget bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah melalui peringkat-peringkat tertentu. Walau bagaimanapun, Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara penemuan iaitu mengolah apa yang diketahui pelajar itu kepada satu corak dalam keadaan baru (lebih kepada prinsip konstruktivisme).

Menurut kajian dan pemerhatian yang telah dibuat oleh Bruner dan pembantunya, Kenney, pada tahun 1963 mereka berjaya membina empat teorem pembelajaran matematik ( Mok Soon Sang, 1996) iaitu:

Teorem Pembinaan
Cara yang paling berkesan bagi kanak-kanak mempelajari konsep, prinsip atau hukum matematik ialah membina perwakilan dan menjalankan aktiviti yang konkrit.

Teorem Tatatanda
Tatatanda matematik yang diperkenalkan harus mengikut perkembangan kognitif murid tersebut.

Teorem Kontras dan Variasi
Konsep yang diterangkan kepada murid harus berbeza dan pelbagai supaya murid dapat membezakan konsep-konsep matematik tersebut.

Teorem Perhubungan
Setiap konsep, prinsip dan kemahiran matematik hendaklah dikaitkan dengan konsep, prinsip dan kemahiran matematik yang lain.

Selain daripada kajian tersebut, Bruner percaya bahawa kanak-kanak lebih dimotivasikan oleh masalah yang menarik yang tidak mampu diselesaikan oleh mereka dengan mudah seandainya tidak menguasai isi kandungan mata pelajaran dan kemahiran tertentu.

TEORI GAGNE
Robert M. Gagne, seorang professor dan ahli psikologi yang telah banyak membuat penyelidikan mengenai fasa dalam rangkaian pembelajaran dan jenis pembelajaran matematik. Teori pembelajaran Gagne berbeza dengan Teori Piaget dan Bruner. Menurut Gagne, terdapat empat kategori yang harus dipelajari oleh kanak-kanak dalam matematik iaitu fakta, kemahiran, konsep dan prinsip.

Gagne mempunyai hierarki pembelajaran. Antaranya ialah pembelajaran melalui isyarat, pembelajaran tindak balas rangsangan, pembelajaran melalui rantaian, pembelajaran melalui pembezaan dan sebagainya. Menurut Gagne, peringkat yang tertinggi dalam pembelajaran ialah penyelesaian masalah. Pada peringkat ini, pelajar menggunakan konsep dan prinsip-prinsip matematik yang telah dipelajari untuk menyelesaikan masalah yang belum pernah dialami.

TEORI DIENES
Professor Zolton P. Dienes, seorang ahli matematik, ahli psikologi dan pendidik, pernah memberi banyak sumbangan dalam teori pembelajaran. Beliau telah merancang satu sistem yang berkesan untuk pengajaran matematik untuk menjadikan matematik lebih mudah dan berminat untuk mempelajari. Mengikut Dienes konsep matematik boleh dipelajari melalui enam peringkat iaitu permainan bebas, permainan berstruktur, mencari ciri-ciri, perwakilan gambar, perwakilan simbol dan akhirnya formalisasi.

Teori Dienes mengariskan beberapa prinsip bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik iaitu:

Prinsip Konstruktiviti
Pelajar haruslah memahami konsep sebelum memahaminya dengan analisa yang logik.

Prinsip Perubahan Perspeptual
Kanak-kanak didedahkan pelbagai keadaan supaya dapat memaksimakan konsep Matematik.

Prinsip Dinamik
Kanak-kanak mempelajari sesuatu melalui pendedahan dan eksperimen untuk membentuk satu konsep.

KANAK-KANAK BELAJAR MATEMATIK
Setelah melihat teori-teori yang digariskan oleh Piaget, Bruner, Gagne dan Dienes kita dapat melihat ia ada kaitan dengan konsep konstruktivisme. Konstruktisvisme merupakan satu teori mengenai pengetahuan dan pembelajaran yang menarik minat, memotivasikan serta memudahkan pemahaman pelajar. Di samping itu, konstruktivisme menyarankan kanak-kanak membina pengetahuan secara aktif berdasarkan pengetahuan sedia ada kanak-kanak tersebut. Pembinaan pengetahuan tersebut boleh dihasilkan melalui permainan dan eksperimentasi di samping pembelajaran koperatif. Apabila kanak-kanak bekerjasama, mereka berkongsi dalam proses pembinaan idea. Secara tidak langsung, kanak-kanak tersebut dapat membina pengetahuan baru hasil daripada pembelajaran secara kendiri.

Dalam pendekatan konstruktivisme ini, persekitaran pembelajaran berpusatkan kanak-kanak menjadi asas yang penting dan guru bertindak sebagai fasilitator. Kanak-kanak juga didorong untuk mengemukakan idea dan teori bagi menyelesaikan masalah. Dalam pendidikan matematik, kanak-kanak biasanya akan diajar dengan menggunakan benda-benda konkrit supaya mereka memperolehi pengalaman yang akan digunakan untuk dikaitkan dengan pembelajaran matematik yang dipelajari akan datang.

Secara kesimpulannya, kanak-kanak belajar matematik melalui pengalaman dan pengamatan sesuatu perkara. Selain daripada itu, kanak-kanak juga dapat meningkatkan pemikiran dengan menghasilkan konsep baru. Ini bermakna pengetahuan boleh dianggap sebagai koleksi konsep-konsep dan tindakan-tindakan berguna berpandukan kepada keadaan dan masa yang diperlukan.

PENUTUP
Kanak-kanak itu ibarat bekas yang kosong dan guru berperanan untuk memenuhkan bekas tersebut dengan ilmu pengetahuan. Guru juga berperanan untuk membimbing kanak-kanak untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Seharusnya kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan membentuk ilmu pengetahuan berdasarkan permainan dan eksperimen dan tidak bergantung sepenuhnya dengan guru. Guru hanyalah seorang fasilitator yang akan memantau perkembangan kanak-kanak dalam mempelajari sesuatu konsep.

Menurut pandangan konstruktivime, kanak-kanak membina pengetahuan barunya dengan sendiri dengan menyesuaikan pengetahuan sedia ada. Melalui konsep konstruktivisme ianya mungkin akan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam pendidikan matematik masa kini. Matlamat pendidikan matematik adalah untuk melahirkan warga yang bukan sahaja berupaya untuk mengaplikasikan apa yang mereka telah pelajari dalam situasi dunia sebenar tetapi juga berupaya menyelesaikan masalah yang belum pernah mereka temui sebelum ini.

Sesungguhnya, kanak-kanak perlu didedahkan dengan pembelajaran secara konstruktivisme dan koperatif. Selain daripada itu, guru juga harus bersedia dengan pelbagai kaedah pengajaran supaya dapat membuka minda kanak-kanak tentang keindahan dan kepentingan pendidikan matematik dalam kehidupan seharian.

Wednesday, October 6, 2010

Faktor Yang Menyumbang Kepada Masalah Disiplin Bilik Darjah

Masalah disiplin selalu berlaku samada samada di dalam sekolah atau dalam bilik darjah. Semua ini kerana pelajar-pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang, mempunyai sahsiah, intelek, jasmani, rohani dan sosioekonomi yang berbeza. Seperti yang kita sedia maklum, apabila tingkah laku bermasalah atau disiplin berlaku dalam bilik darjah, proses pengajaran dan pembelajaran akan terjejas. Contoh masalah disiplin yang kerap berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran ialah melawan dan tidak menghormati guru, membaca bahan-bahan lain, mengeluarkan kat-kata kesat, makan, membuat bising atau bergerak bebas di dalam bilik darjah, mengganggu pengajaran dan pembelajaran,tidak membuat kerja seperti yang diarahkan, ponteng kelas dan lewat masuk ke kelas. Intensiti gangguan terhadap persekitaran pengajaran dan pembelajaran mempunyai perkaitan dengan kenis kekerapan dan tempoh berlaku tingkah laku tersebut. Selain itu, ia juga mempengaruhi keselamatan psikologi para pelajar,kesediaan mereka untuk belajar, dan tingkah laku masa depan mereka . Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku?
Faktor pertama masalah disiplin ini adalah daripada guru itu sendiri di mana pendekatan dan kaedah pengajaran yang digunakan tidak menarik atau tidak sesuai. Sesetengah guru gagal memilih dan menggunakan pendekatan dan kaedah pengajaran yang dapat menarik dan mengekalkan minat murid kepada perkara yang disampaikan oleh guru. Hasilnya, murid menjadi bosan, tidak menumpukan perhatian dan menimbulkan masalah disiplin. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Sebaliknya, jika seseorang guru itu bijak,kreatif dan inovatif ,maka dia akan dapat menggunakan kaedah pengajaran pembelajaran yang berkesan dan melibatkan pelajar secara aktif dan terkawal. Kaedah berkesan yang digunakan akan dapat mengurangkan masalah yang tidak dikehendaki. Kepelbagaian kaedah, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi pelajar aktif, seronok dan mudah menerima apa yang diajar oleh guru. Dengan itu karenah disiplin dapat dikurangkan. (Abdul Rahim Abd Rashid, 1999)
Kedua, perwatakan dan sahsiah guru juga merupakan salah satu faktor dalam masalah disiplin ini. Menurut (Mok Soon Sang, 2008) guru yang kurang berpengalaman dan kurang tegas atas disiplin bilik darjah tidak akan mendapat penghormatan dan kepercayaan daripada murid-murid. Murid-murid yang nakal sering menimbulkan masalah dengan tujuan untuk membuli guru yang kurang tegas.
Menurut (Ahmad Mohd Salleh, 2004) antara sifat-sifat guru yang disukai murid menurut Atan Long (1993) ialah mempunyai emosi yang stabil dan mental yang sihat, mempunyai badan yang sihat dan sahsiah yang dinamik, mempunyai kecerdasan otak yang lebih tinggi daripada kebanyakan orang, mempunyai sifat kreatif, imaginasi dan ikhtiar, mempunyai suara dan tingkahlaku yang beradab, bertata tertib, bertimbang rasa, mempunyai simpati dan bijaksana dalam menghadapi masalah, sabar, jujur dan ikhlas, tegas, menepati masa dan berkebolehan mengurus, mempunyai sikap yang positif dan menggalakkan, memberi bimbingan yang demokratik dan menjaga status ikhtisas perguruan.
Ketiga, hubungan guru dengan pelajar kurang baik dan kurang mesra juga merupakan salah satu faktornya. Menurut Tengku Sarina Aini Tengku Kasim & Yusmini Md. Yusoff 2006, menyatakan bahawa tugas guru bukan bersifat statik dan hanya tertumpu kepada objektif akademik sahaja. Tetapi guru berperanan dan mempunyai pengaruh yang besar kepada pembetukan kehidupan sosial pelajar. Sehubungan itu, pembinaan hubungan berkesan antara guru dan murid adalah pendekatan terbaik bagi mencapai hasrat ini. Antara kelebihan apabila wujud hubungan baik antara guru dan pelajar ialah akan melahirkan persahaman yang baik antara mereka serta wujud rasa percaya mempercayai dan ini dapat memberi kesan positif kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab itu,sudah pasti masalah disiplin akan dapat dikawal dan dikurangkan.
Faktor keempat seterusnya ialah suasana bilik darjah yang kurang selesa. Keadaan bilik darjah yang tidak terurus,kerusi meja yang banyak dan nampak berselerak, cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak berfungsi menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar ,menyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab itu,mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini memungkinkan berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, bilangan murid yang terlalu ramai juga merupakan faktor yang mendorong kepada masalah disiplin ini. Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila bilangan murid terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh guru. Guru tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi,pelajar yang tertinggal atau atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya membuat bising, mengganggu rakan dan bergerak ke sana sini. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Kesimpulannya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya masalah disiplin dalam bilik darjah ini. Lantaran itu, langkah-langkah berkesan haruslah dikaji dan dilaksanakan bagi mengatasi masalah disiplin ini. Penting untuk seorang guru itu mangawal disiplin pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran dengan cara yang sesuai agar dapat membentuk sahsiah pelajar yang berahklak dan berpekerti mulia.
RUJUKAN: :
• Shahabuddin Hashim, Rozihani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Strategi
dan teknik mengajar berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.
• Abdul Rahim Abdul rashid. (1999). Profesionalisme motivasi pengurusan bilik
darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
• Sang M. S. (1991). Pedagogi 2 : Strategi pengajaran dan pengajaran mikro.
Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
• Ahmad Mohd Salleh. (2003). Pendidikan Islam : Falsafah, sejarah dan kaedah
pengajaran pembelajaran. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Sang M. S. (2008). Pengurusan hal ehwal murid. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.