Masalah disiplin selalu berlaku samada samada di dalam sekolah atau dalam bilik darjah. Semua ini kerana pelajar-pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang, mempunyai sahsiah, intelek, jasmani, rohani dan sosioekonomi yang berbeza. Seperti yang kita sedia maklum, apabila tingkah laku bermasalah atau disiplin berlaku dalam bilik darjah, proses pengajaran dan pembelajaran akan terjejas. Contoh masalah disiplin yang kerap berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran ialah melawan dan tidak menghormati guru, membaca bahan-bahan lain, mengeluarkan kat-kata kesat, makan, membuat bising atau bergerak bebas di dalam bilik darjah, mengganggu pengajaran dan pembelajaran,tidak membuat kerja seperti yang diarahkan, ponteng kelas dan lewat masuk ke kelas. Intensiti gangguan terhadap persekitaran pengajaran dan pembelajaran mempunyai perkaitan dengan kenis kekerapan dan tempoh berlaku tingkah laku tersebut. Selain itu, ia juga mempengaruhi keselamatan psikologi para pelajar,kesediaan mereka untuk belajar, dan tingkah laku masa depan mereka . Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku?
Faktor pertama masalah disiplin ini adalah daripada guru itu sendiri di mana pendekatan dan kaedah pengajaran yang digunakan tidak menarik atau tidak sesuai. Sesetengah guru gagal memilih dan menggunakan pendekatan dan kaedah pengajaran yang dapat menarik dan mengekalkan minat murid kepada perkara yang disampaikan oleh guru. Hasilnya, murid menjadi bosan, tidak menumpukan perhatian dan menimbulkan masalah disiplin. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Sebaliknya, jika seseorang guru itu bijak,kreatif dan inovatif ,maka dia akan dapat menggunakan kaedah pengajaran pembelajaran yang berkesan dan melibatkan pelajar secara aktif dan terkawal. Kaedah berkesan yang digunakan akan dapat mengurangkan masalah yang tidak dikehendaki. Kepelbagaian kaedah, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi pelajar aktif, seronok dan mudah menerima apa yang diajar oleh guru. Dengan itu karenah disiplin dapat dikurangkan. (Abdul Rahim Abd Rashid, 1999)
Kedua, perwatakan dan sahsiah guru juga merupakan salah satu faktor dalam masalah disiplin ini. Menurut (Mok Soon Sang, 2008) guru yang kurang berpengalaman dan kurang tegas atas disiplin bilik darjah tidak akan mendapat penghormatan dan kepercayaan daripada murid-murid. Murid-murid yang nakal sering menimbulkan masalah dengan tujuan untuk membuli guru yang kurang tegas.
Menurut (Ahmad Mohd Salleh, 2004) antara sifat-sifat guru yang disukai murid menurut Atan Long (1993) ialah mempunyai emosi yang stabil dan mental yang sihat, mempunyai badan yang sihat dan sahsiah yang dinamik, mempunyai kecerdasan otak yang lebih tinggi daripada kebanyakan orang, mempunyai sifat kreatif, imaginasi dan ikhtiar, mempunyai suara dan tingkahlaku yang beradab, bertata tertib, bertimbang rasa, mempunyai simpati dan bijaksana dalam menghadapi masalah, sabar, jujur dan ikhlas, tegas, menepati masa dan berkebolehan mengurus, mempunyai sikap yang positif dan menggalakkan, memberi bimbingan yang demokratik dan menjaga status ikhtisas perguruan.
Ketiga, hubungan guru dengan pelajar kurang baik dan kurang mesra juga merupakan salah satu faktornya. Menurut Tengku Sarina Aini Tengku Kasim & Yusmini Md. Yusoff 2006, menyatakan bahawa tugas guru bukan bersifat statik dan hanya tertumpu kepada objektif akademik sahaja. Tetapi guru berperanan dan mempunyai pengaruh yang besar kepada pembetukan kehidupan sosial pelajar. Sehubungan itu, pembinaan hubungan berkesan antara guru dan murid adalah pendekatan terbaik bagi mencapai hasrat ini. Antara kelebihan apabila wujud hubungan baik antara guru dan pelajar ialah akan melahirkan persahaman yang baik antara mereka serta wujud rasa percaya mempercayai dan ini dapat memberi kesan positif kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab itu,sudah pasti masalah disiplin akan dapat dikawal dan dikurangkan.
Faktor keempat seterusnya ialah suasana bilik darjah yang kurang selesa. Keadaan bilik darjah yang tidak terurus,kerusi meja yang banyak dan nampak berselerak, cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak berfungsi menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar ,menyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab itu,mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini memungkinkan berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, bilangan murid yang terlalu ramai juga merupakan faktor yang mendorong kepada masalah disiplin ini. Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila bilangan murid terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh guru. Guru tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi,pelajar yang tertinggal atau atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya membuat bising, mengganggu rakan dan bergerak ke sana sini. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Kesimpulannya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya masalah disiplin dalam bilik darjah ini. Lantaran itu, langkah-langkah berkesan haruslah dikaji dan dilaksanakan bagi mengatasi masalah disiplin ini. Penting untuk seorang guru itu mangawal disiplin pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran dengan cara yang sesuai agar dapat membentuk sahsiah pelajar yang berahklak dan berpekerti mulia.
RUJUKAN: :
• Shahabuddin Hashim, Rozihani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Strategi
dan teknik mengajar berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.
• Abdul Rahim Abdul rashid. (1999). Profesionalisme motivasi pengurusan bilik
darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
• Sang M. S. (1991). Pedagogi 2 : Strategi pengajaran dan pengajaran mikro.
Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
• Ahmad Mohd Salleh. (2003). Pendidikan Islam : Falsafah, sejarah dan kaedah
pengajaran pembelajaran. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Sang M. S. (2008). Pengurusan hal ehwal murid. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.